PETALING JAYA: Pempengaruh dan aktivis politik, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan hantaran di media sosial mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguamnya yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, Ratu Naga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat yang dimaklumkan kepada kami, siasatan ini berkaitan satu video yang dimuat naik oleh Syarul Ema Rena yang mengkritik peranan Perdana Menteri dalam krisis kehakiman yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Zaid turut menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan pihak berkuasa menyiasat individu yang mengutarakan pandangan berkaitan kepentingan awam seperti krisis kehakiman.
“Kita hendak menyatakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan terhadap Syarul Ema Rena. Jika benar muatan itu menyentuh isu krisis kehakiman, apakah wajar ia disiasat sebagai satu kes jenayah?,” katanya.
Zaid berkata, krisis kehakiman yang didakwa melibatkan campur tangan eksekutif dalam pelantikan hakim dan kebocoran minit mesyuarat adalah isu yang membimbangkan ramai pihak.
“Ini adalah isu yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. Semua orang yang peka terhadap sistem demokrasi dan tadbir urus negara pasti menyuarakan kebimbangan terhadap perkara ini,” katanya. – UTUSAN