KUALA SELANGOR: Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala Sungai Buloh di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi.
“Siasatan awal mendapati mereka mengayuh basikal secara berkumpulan di lorong kiri jalan berkenaan. Keadaan itu kemudian dipercayai menghalang pergerakan sebuah bas yang turut berada di situ,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, tiada kemalangan bagaimanapun dilaporkan dalam kejadian itu.
“Justeru, polis sedang berusaha mengesan kumpulan itu bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing,” ujarnya.
Tambah Azaharudin, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan dan menghormati hak serta keselamatan pengguna lain,” jelasnya.
Terdahulu, Rapid Bus dilapor sedang menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal yang tular di media sosial itu.
Kejadian berlaku selepas pemandu bas terpaksa memberhentikan kenderaan akibat halangan daripada sekumpulan penunggang basikal yang mengayuh secara berkumpulan di hadapannya.
Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan itu menenangkan keadaan. – UTUSAN