SEREMBAN: Ahli kariah Masjid Batang Benar, Nilai di sini dikejutkan dengan kejadian kecurian mesin penapis air yang berlaku di kawasan masjid itu, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batang Benar, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi berkata, kejadian disedari oleh imam selepas solat Maghrib kira-kira pukul 8.12 malam.
“Imam mendapati mesin penapis air yang terletak dalam pekarangan masjid telah tiada. Terdapat kesan potongan pada hos mesin berkenaan, dipercayai dipotong oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Muhammad Jailani berkata, ia merupakan insiden pertama melibatkan kehilangan aset atau barangan sumbangan masjid.
“Sebelum ini, kes pecah tabung pernah berlaku, tetapi telah lama tidak berulang selepas pihak masjid mengambil inisiatif memasang kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Katanya, laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa.
Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki masuk ke kawasan masjid dan memotong hos mesin penapis air tersebut.
Kemudian, mereka meletakkannya ke dalam bonet sebuah kereta yang diparkir di luar masjid. – UTUSAN