KUALA LANGAT: Kelongsong peluru dan sisa elektronik atau e-waste seperti timah tembaga dan beberapa bahan lain antara barang kes paling banyak dilupuskan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, kesemua barang kes yang dilupuskan bernilai RM1.08 juta, melibatkan 47 kertas siasatan daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat dari tahun 2016 hingga 2025.
“Satu kertas siasatan melibatkan rampasan 69 beg jumbo timah dan tembaga, empat tong sisa timah dan empat kotak kelongsong peluru dengan anggaran nilai rampasan RM412,225.
“Empat kertas siasatan melibatkan kes kontraban iaitu minuman keras dan rokok tidak bercukai anggaran nilai rampasan RM425,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelupusan Barang Kes, hari ini.
Pelupusan kesemua barang disaksikan Majistret Mahkamah Telok Datok, Maslinda Selamat.
Jelasnya, turut dilupuskan pada hari ini adalah 239 unit mesin bitcoin bernilai RM167,000 serta 84 unit set komputer dan telefon bimbit bernilai RM84,000 masing-masing melibatkan enam dan 26 kertas siasatan.
Justeru, Mohd. Sufian memberitahu, pelupusan barang kes hari ini adalah yang paling besar dalam sejarah pelupusan IPD Kuala Langat.
“Pelupusan itu melibatkan kes yang selesai dan jatuh hukum oleh mahkamah, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 407A Kanun Tatacara Jenayah.
“Majlis pelupusan itu bukan sahaja mencerminkan kepatuhan IPD Kuala Langat terhadap perundangan sedia ada, malah membuktikan komitmen berterusan polis dalam menjaga amanah dan kepercayaan masyarakat,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 50 tan anak peluru, kelongsong dan peluru hidup ditemui polis dalam sebuah serbuan ke atas sebuah kilang haram memproses e-waste di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 15 Februari lalu. – UTUSAN










