PETALING JAYA: Siasatan polis mendapati kecederaan pada badan pemandu e-hailing yang ditemukan mati di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, Ampang Jaya dekat sini 22 Jun lalu dipercayai berpunca daripada kesan kemalangan dan penderaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan lanjut mendapati kecederaan dialami di badan mangsa berusia 37 tahun itu dipercayai didera oleh kedua-dua suspek yang ditahan.
“Kesan kecederaan berpunca daripada kemalangan dan penderaaan berterusan daripada kedua-dua suspek yang merupakan anak beranak. Tiada kena mengena dengan unsur ah long,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, ahli keluarga suspek mendakwa mangsa pernah didera ah long sehingga menyebabkan kecederaan pada badan pemandu e-hailing terbabit.
Media semalam melaporkan dua beranak berusia 36 dan 73 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang lelaki dipercayai rakan kepada seorang daripada suspek.
Mohd. Azam dilaporkan berkata, kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat namun hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah dan siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan mendapati mangsa ditemukan mati di kediaman rakannya itu selain tinggal dalam kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah suspek.
“Motif kejadian dipercayai kerana mangsa didakwa berhutang kira-kira RM120,000 dengan suspek dan punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada otot di sebabkan kecederaan pada kulit dan tulang,” katanya. – UTUSAN