47 peniaga naik harga barang diberi notis

47 peniaga naik harga barang diberi notis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 47 notis terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barangan melampau di sekitar ibu negara. 

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, tindakan itu diambil pasukan penguatkuasa menerusi pemantauan Op Kesan 4.0 yang dilaksanakan bermula 1 Julai lalu sehingga hari ini.

Katanya, secara keseluruhan kira-kira 80 premis diperiksa di sekitar Kuala Lumpur termasuk daripada maklumat awam dan risikan dijalankan.

“Hasilnya, sebanyak 47 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga membabitkan 154 item barangan bagi tujuan pengumpulan data serta analisis.

“Dalam tempoh sama juga, kami sudah menerima 27 aduan berkaitan harga barangan dan kesemua aduan itu sedang dalam penelitian oleh 98 pegawai serta anggota yang ditugaskan melakukan pemantauan terbabit,” katanya pada sidang akbar selepas mengadakan lawatan turun padang bagi memantau pelaksanaan Op Kesan di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, pasukan pemantauan KPDN akan turun menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa kawalan dan memastikan rakyat tidak terkesan susulan pengumuman Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Setakat ini, pemeriksaan dijalankan mendapati harga barangan adalah terkawal. Kebanyakan barangan dipantau dijual lebih murah, kekal dan hanya ada beberapa barang sedikit meningkat (harga).

“Namun ini kami akan kaji sama ada peningkatan itu disebabkan oleh faktor SST, cuaca, logistik atau pengaruh negara luar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati menaikkan harga tidak munasabah dan tidak sejajar perundangan pencatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN