PETALING JAYA: Polis menahan seramai 10 warga Myanmar yang bekerja di pusat hiburan berkonsepkan kafe di Desa Sri Hartamas, dekat sini semalam.
Op Noda bermula kira-kira jam 11.15 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Balai Polis Sri Hartamas
Difahamkan pusat hiburan tersebut beroperasi 12 jam setiap hari dengan menawarkan gadis pelayan (GRO).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, seramai 10 warga Myanmar berusia 22 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan itu.
Katanya, tangkapan terdiri daripada lima wanita dipercayai GRO, empat lelaki merupakan pekerja dan seorang lagi ialah penjaga premis.
“Polis telah merampas pelbagai barang antaranya buku catatan, peralatan audio serta minuman keras.
“Semakan awal mendapati pusat hiburan disyaki beroperasi tanpa lesen sah, menggajikan pekerja asing dan langgar syarat permit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal premis mula beroperasi dari 7 petang hingga 7 pagi setiap hari dengan kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Myanmar.
Tambahnya, GRO terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976,” ujarnya. – UTUSAN