Polis rampas dadah bernilai RM10.8 juta di Bukit Kayu Hitam

Polis rampas dadah bernilai RM10.8 juta di Bukit Kayu Hitam

MAT Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali (empat dari kiri) menunjukkan dadah berjumlah RM10.8 juta yang berjaya dirampas dalam operasi berdekatan sempadan Bukit Kayu Hitam pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Taktik licik sindiket pengedaran dadah dari negara jiran menggunakan kenderaan diubah suai terbongkar apabila polis berjaya memberkas dua ‘transporter’ (pembawa dadah) dalam serbuan berasingan di sempadan negeri ini, Ahad lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, operasi itu berjaya merampas kira-kira 120.46 kilogram (kg) heroin base dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 2.37kg dengan nilai keseluruhan RM10.8 juta.

Katanya, rampasan itu yang terbesar di utara tanah air bagi tahun ini dan dengan jumlah dadah yang dirampas itu mampu merosakkan kehidupan kira-kira 7.8 juta penduduk yang menggunakannya jika terlepas ke pasaran.

“Dalam serbuan pertama pukul 5.40 petang, sepasukan pegawai JSJN menahan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun di kawasan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan sebanyak 160 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki heroin base seberat 59.2kg yang disembunyikan di dalam ruang khas bahagian belakang tempat duduk penumpang.

“Pada 5.55 petang hari sama, kami menahan sebuah lagi Honda Accord yang dipandu wanita tempatan berusia 35 tahun di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan.

“Sebanyak 155 bungkusan heroin base seberat 61.26kg serta 35 paket serbuk disyaki MDMA seberat 2.37kg ditemui di ruang khas yang turut diubah suai,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Katanya, suspek yang juga penganggur dipercayai menerima upah sebanyak RM20,000 untuk membawa dadah berkenaan dari negara jiran.

“Ia merupakan kali kedua suspek membawa dadah tersebut dari negara jiran sebelum tertangkap selepas kali pertama pada Januari lepas,” katanya.

Katanya, dadah yang dibawa dipercayai akan diproses di sekitar kawasan Pulau Pinang sebelum diedarkan ke pasaran utara dan antarabangsa. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

“Mereka kini direman tujuh hari hingga 22 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN