PETALING JAYA: Seorang penjawat awam ditahan kelmarin kerana disyaki sengaja mencalarkan dua buah kereta menggunakan kunci di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Taman Pandan Mewah, Ampang dekat sini.
Penahanan lelaki berusia 41 tahun itu dilakukan selepas dia disyaki melakukan perbuatan itu pada 19 dan 22 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mangsa adalah dua wanita tempatan yang meletakkan kenderaan mereka di lot parkir sama dalam kedua-dua kejadian berkenaan
Kata beliau, mangsa pada mulanya meletakkan kenderaan jenis Honda di lot parkir berkenaan pada 19 Mei lalu sebelum mendapati terdapat kesan calar di bahagian kanan pintu depan dan belakang.
“Namun mangsa tidak pasti siapa pelakunya.Pada 22 Mei kira-kira pukul 1 pagi sepupu mangsa meletakkan kenderaan jenis Toyota di lot parkir yang sama dan mendapati terdapat kesan calar di pintu belakang sekitar 6.40 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat aduan kepada pihak pengurusan pangsapuri dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) merakam kejadian itu.
“Berdasarkan rakaman CCTV, mangsa melihat seorang lelaki sama yang juga merupakan penduduk pangsapuri itu berjalan di sebelah kereta miliknya dalam kedua-dua kejadian.
“Bertindak di atas maklumat, polis menahan suspek pada 5.35 petang kelmarin di pekarangan kawasan parkir apartmen terbabit,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek bekerja sebagai kerani di sebuah universiti awam telah ditahan selain merampas serangkai kunci bagi membantu siasatan.
Mohd. Azam berkata, mangsa dan suspek tinggal di kawasan sama serta dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain.
“Motif kejadian masih dalam siasatan manakala semakan juga mendapati suspek terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat),” katanya. – UTUSAN