PETALING JAYA: Sebanyak 650 helai jersi disyaki tiruan bernilai RM25,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Selasa lalu.
Pemeriksaan bersepadu itu dijalankan KPDN Kuala Lumpur bersama KPDN Putrajaya dan Selangor sempena perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Vietnam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd Arshad berkata, pemeriksaan ke atas lapan gerai dilaksanakan bersama wakil pemilik cap dagang.
Kata beliau,t erdapt lapan gerai yang mempamerkan baju jersi menggunakan cap dagangan berjenama terkenal untuk dijual kepada orang awam yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak.
“Pengesahan awal daripada pihak pengadu mendapati baju jersi berkenaan menggunakan cap dagangan palsu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sitaan telah diambil membabitkan 650 helai jersi bernilai RM25,000.
Tambahnya, semua barangan yang disita dibawa ke Stor Ekshibit KPDN Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019. – UTUSAN