Op Hazard 2.0: 453 ditahan, rampasan lebih RM1 bilion

Op Hazard 2.0: 453 ditahan, rampasan lebih RM1 bilion

AZMI Abu Kassim menunjukkan gambar e-waste yang dirampas dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 453 individu ditahan manakala pelbagai barangan bernilai lebih RM1 bilion dirampas dalam Operasi Bersepadu Hazard 2.0 yang digerakkan serentak di sembilan negeri bermula 16 Jun lalu.

Operasi berskala besar itu menyasarkan 57 premis di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, ia memfokuskan sindiket yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk pengurusan bahan buangan terjadual secara haram, pelanggaran cukai dan penyalahgunaan permit pekerjaan.

“Daripada 916 pemeriksaan, seramai 453 individu ditahan terdiri daripada 382 lelaki, 70 wanita dan seorang kanak-kanak.

“Daripada jumlah itu, 392 ialah pendatang asing tanpa izin (PATI), 41 warganegara, manakala 20 lagi warga asing berkaitan kesalahan lain,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Azmi berkata, nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1.003 bilion meliputi pelbagai kategori barangan.

“Rampasan membabitkan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM240 juta, komponen e-waste sebanyak RM182 juta, barang lusuh RM50 juta dan lain-lain kesalahan berjumlah RM32 juta.

“Selain itu, siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap syarikat berkaitan menganggarkan ketirisan hasil cukai sekitar RM500 juta,” katanya.

Antara rampasan terbesar di sebuah kilang tidak berdaftar di Juru, Pulau Pinang yang dipercayai menjalankan pemprosesan e-waste secara haram, dan turut menyimpan mercun dan bungai api bernilai RM7 juta tanpa lesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN