BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjalankan siasatan lanjut membabitkan dakwaan salah laku seorang anggota penguat kuasa disyaki meminta ‘duit kopi’ dari peniaga seperti tular dalam media sosial baru-baru ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh seorang jurucakap MBSP ketika dihubungi di sini.
“Siasatan berhubung dakwaan dalam video tersebut masih dijalankan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi hampir dua minit di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang individu mendakwa anggota MBSP menyalahgunakan kuasa di premis perniagaan milik rakannya.
Antara dakwaan serius yang dibangkitkan menerusi video terbabit ialah ugutan penguat kuasa terhadap pelanggan dengan meminta ‘duit kopi’.
Malah, suspek juga dikatakan pernah menahan warga asing tanpa sebab yang jelas selain menampar lelaki tempatan yang disangka warga asing serta menyebabkan perniagaan di kawasan terbabit terjejas secara tidak langsung.
Difahamkan, pemilik akaun berkenaan juga mendakwa akan membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa. – UTUSAN