LANGKAWI: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai cuba merompak sebuah kedai emas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku di Pekan Pandak Mayah, Kuah, pada pukul 11.48 pagi tadi.
“Seorang lelaki memakai penutup muka dan mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas tersebut.
“Suspek seterusnya memecahkan cermin pameran barangan kemas menggunakan parang yang dibawa,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, lelaki tersebut cuba membawa lari barang kemas bernilai RM50,000 namun pemilik kedai emas dan orang awam cuba mengejar suspek.
Suspek berjaya ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN