PETALING JAYA: Polis sedang memburu dua penjenayah yang menembak mati seorang lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa cedera, seorang daripadanya serius dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya masih menjalan siasatan bagi mengenal pasti identiti suspek sama ada warga tempatan atau rakyat asing.
“Polis akan dapatkan keterangan mangsa yang cedera dalam insiden itu.
“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields atau balai berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam tadi, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang sedang makan bersama beberapa rakan di restoran terbabit telah dihampiri dua lelaki menaiki motosikal sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke PPUM untuk bedah siasat. Dua lagi mangsa cedera, seorang daripadanya serius, kini dirawat di PPUM.
Siasatan juga merangkumi pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. – UTUSAN