KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut selepas dipercayai ditembak oleh sekumpulan suspek yang memakai topi keledar di hadapan lobi sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.
Kejadian itu didakwa berlaku pada 12.15 tengah malam ketika kedua-dua mangsa dikatakan sedang menuju ke arah kereta mereka yang diletakkan di pekarangan pusat beli-belah berkenaan.
Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang pada ketika itu berada di bahagian luar pusat beli-belah.
“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah.
“Kumpulan lelaki terbabit yang dilaporkan bersenjata pistol kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Alza,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an, berasal dari Sibu, Sarawak.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian terbabit.
Pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas ditembak salah seorang dari dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, mangsa bersama beberapa rakan sedang minum di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields dekat sini sebelum didatangi suspek bersenjatakan pistol.
Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti suspek dan motif kejadian. – UTUSAN