KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes penculikan Datin Seri Pamela Ling sejak 9 April lalu setakat ini menjurus kepada kemungkinan suami Datin Seri Pamela Ling serta beberapa individu lain sebagai suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain.
“Buat masa ini, kemungkinan (suami Pamela sebagai suspek) ke arah itu dan mungkin ada orang lain.
“Siasatan masih belum (lengkap) dan kita percaya ada orang lain kita ambil sebagai suspek juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, di sini semalam.
Menurutnya, setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami kepada Pamela.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati suami kepada Pamela masih berada dalam negara.
Ketika ditanya kemungkinan Pamela masih berada di dalam negara, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.
“Perkara itu masih dalam siasatan, kita tidak boleh buat kesimpulan. Buat masa ini motif kejadian belum diketahui,” katanya.
Razarudin berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah menubuhkan pasukan khas bagi siasatan kes culik ini.
“Saya sendiri yang akan mempengerusikan mesyuarat malam ini untuk mengetahui perkembangan terkini siasatan kes,” katanya.
Berhubung keterangan diberikan pemandu e-hailing yang mendakwa individu dipercayai melarikan Pamela di lokasi kejadian memakai uniform dan vest polis, beliau berkata, siasatan masih diteruskan untuk menentukan sekiranya suspek menyamar polis atau sememangnya anggota yang membuat onar.
“Yang itu memang kami tidak bertolak ansur selama ini. Siasatan kita mana-mana anggota terlibat samun atau kes culik, kita tuduh mahkamah, ada dalam sejarah polis,” katanya.
Terdahulu, pemandu e-hailing yang membawa Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42, pada hari kejadian wanita itu dipercayai dilarikan beberapa individu mendakwa dipaksa menandakan ‘complete job’ sebelum MyKad dan lesen memandu diambil suspek, pada 9 April lalu.
Media semalam melaporkan, polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh termasuk dakwaan dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. – UTUSAN










