KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur kawasan ‘jajahan’ warga asing di sekitar Selayang Utara, Pasar Borong Selayang di sini dan memeriksa seramai 1,435 individu dalam Op Kachi malam tadi.
Operasi bermula kira-kira 10.45 malam dijalankan sepasukan 560 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dengan setiap laluan keluar dan masuk di kawasan premis perniagaan dan rumah kedai berhampiran Pasar Borong KL itu dikepung sepenuhnya.
Serbuan berkenaan turut dibantu Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, 225 unit premis perniagaan dan tempat penginapan warga asing yang kebanyakannya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Katanya, tindakan tegas itu diambil susulan risikan selama dua minggu selepas menerima aduan mengenai lambakan warga asing di kawasan berkenaan.
“Dalam serbuan itu, terdapat beberapa warga asing yang cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun berjaya ditahan.
“Hasilnya seramai 1,435 warga asing termasuk 160 kanak-kanak berjaya ditahan sebelum kesemua mereka dikumpulkan di kawasan parkir untuk tujuan pemeriksaan dokumentasi.
“Mereka yang ditahan adalah 1,222 warga Myanmar terdiri daripada 702 lelaki, wanita (360) dan kanak-kanak (160); diikuti warga Bangladesh (142); India (9); Indonesia (4) manakala seorang Nepal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Kachi awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad Suzrin berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan yang diperiksa adalah etnik Rohingya yang memiliki kad UNHCR.
Bagaimanapun, sebahagian besar ditahan dibebaskan dan mereka yang tidak mempunyai dokumentasi diserahkan kepada pihak Imigresen untuk membuat semakan mengenai kesahihan kad UNHCR dimiliki mereka.
“Pihak imigresen memaklumkan terdapat kad UNHCR yang gagal dikenalpasti melalui mesin pengimbas dan pemegang kad akan dibawa ke pejabat JIM Putrajaya untuk semakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, warga asing yang didapati melakukan kesalahan dibawa ke pejabat JIM Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 55(B); Seksyen 15 (1)(c); Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, pihak beliau akan mengambil tindakan ke atas majikan yang didapati menggajikan pekerja asing tanpa permit sah dan individu yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin.
“Objektif utama operasi ini adalah bagi mengesan individu yang melakukan pelbagai kesalahan membabitkan Akta Imigresen termasuk memiliki kad pelarian UNHCR palsu selain kesalahan-kesalahan lain di bawah undang-undang kecil dari segi aktiviti perniagaan dan jualan.
“Malah, kebanyakan warga asing ini dikesan melanggar setiap peraturan yang ada dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara haram dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak DBKL dengan pengubahsuaian premis penginapan tanpa kebenaran selain penyambungan bekalan elektrik serta air secara haram.
“Kes disiasat mengikut Akta Bekalan Elektrik, Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655), Undang-Undang Kecil (WPKL), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya. – UTUSAN