PETALING JAYA: Angkara cemburu, seorang lelaki parah ditetak tiga individu termasuk bekas suami kepada teman wanitanya, di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Puchong Intan, Taman Puchong Intan, Subang Jaya di sini hari ini.
Mangsa, warga tempatan berusia 47 tahun cedera di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan kini dilaporkan stabil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi daripada seorang wanita memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka.
“Bekas suami wanita terbabit datang bersama dua rakannya ke lokasi sebelum memukul dan menetak mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau serta batang besi.
“Serangan dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga serta perasaan cemburu,” katanya dalam kenyataan di sini ini.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 30-an hingga 40-an.
Katanya, usaha mengesan dan menahan kesemua suspek masih giat dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara hingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan,” katanya.
Mohd Fairus meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau pegawai penyiasat, Inspektor G Dinesh di talian 011-3309 4457. – UTUSAN