MELAKA: Polis mengesahkan belum menerima sebarang laporan dilakukan mana-mana pihak berhubung video tular yang memaparkan kegiatan mempromosi aktiviti berkaitan agama Kristian, dipercayai berlaku di hadapan Surau Warisan berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri akan membuat laporan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
“Setakat pukul 1 tengah hari tadi belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan. Cuma saya dimaklumkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan hadir buat laporan dalam masa terdekat. Mungkin petang ini, saya sedang tunggu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Berdasarkan video yang dikatakan dirakam seorang pengayuh beca, individu itu mempersoalkan niat dan kewajaran kumpulan berkenaan membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengingatkan penganut agama lain supaya tidak menyentuh sensitiviti dan cuba melakukan provokasi terhadap Islam.
Beliau berkata, mereka yang terlibat menghilangkan diri sebaik sahaja ditegur orang Islam di sekitar kawasan pelancongan itu dalam kejadian Sabtu lalu.
“Ini amaran tegas kepada agama selain Islam supaya tidak membuat aktiviti dakwah di hadapan surau, masjid, sekolah agama atau di tempat awam dan terbuka yang mempunyai ramai masyarakat Islam.
“Ia menjadi satu kesalahan walaupun perbuatan itu berlaku dalam tempoh singkat seperti kejadian Sabtu lalu, yang diadakan antara 30 minit hingga sejam sebelum mereka beredar apabila dihalau orang awam di situ,” katanya. – UTUSAN










