Simpanan KWSP lesap ditipu skim pelaburan mesin air

Simpanan KWSP lesap ditipu skim pelaburan mesin air minuman

HISHAMUDDIN Hashim (tiga dari kiri) bersama mangsa skim pelaburan mesin air minuman layan diri menunjukkan surat aduan yang dihantar ke Pejabat SSM Melaka di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 24 mangsa penipuan skim pelaburan mesin air minuman layan diri oleh sebuah syarikat tempatan menuntut pemulangan wang pelaburan berjumlah RM1.8 juta.

Mangsa, S. Maniam, 63, berkata, dia tertarik menyertai skim pelaburan itu selepas mendengar iklan disiarkan stesen radio swasta yang menjanjikan pulangan RM1,500 sebulan selama 10 tahun.

Kata eksekutif swasta itu, kaedah pemasaran yang sistematik, pelan pelaburan mantap dan perjanjian diuruskan secara profesional oleh peguam meningkatkan lagi keyakinannya untuk melabur.

“Saya bersetuju melabur pada 2020 untuk dua buah mesin minuman layan diri yang berharga RM30,000 sebuah dan membayar menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Saya tidak pernah melihat mesin tersebut secara fizikal, hanya gambar dan nombor siri sahaja diberikan.

“Selepas dua tahun saya tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan. Pihak syarikat memberikan pelbagai alasan termasuk Covid-19 menyebabkan mereka tidak memperoleh pulangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hari ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan para pelabur kepada wakil Suruhanjaya Syarikat Melaka (SSM) untuk mengambil tindakan segera terhadap syarikat terlibat.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, B.K. Paranirao, 47, berkata, dia terpaksa berhutang dengan bank sebanyak RM60,000 gara-gara terpedaya skim pelaburan berkenaan.

Menurutnya, dia terpaksa melakukan penstrukturan semula pinjaman rumahnya selepas dihimpit masalah kewangan kerana perlu membayar balik hampir RM1,200 sebulan tanpa hasil yang dijanjikan.

Sementara itu, Pengerusi MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim pelaburan yang dianjurkan syarikat berkenaan dipercayai menepati definisi dan ciri-ciri skim pelaburan di bawah Seksyen 4 (1) (a) dan (2) (a) Akta Skim Kepentingan Awam 2016.

Jelasnya, syarikat berkenaan telah melakukan ketidakpatuhan Seksyen 3, 19, 22 dan 27 akta tersebut dan berharap SSM dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pemilik syarikat.

“Pelabur bimbang syarikat ini akan dibubarkan dan pengarahnya melarikan diri daripada liabiliti kesalahan yang telah dilakukannya. Walaupun individu tersebut telah ditangkap polis, namun SSM perlu mencari keadilan kepada mangsa dalam ruang lingkup bidang kuasanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN