KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya, tujuh tahun lalu.
Mohamad Qarim Abdul Razak, 42, membuat pengakuan itu hari ini, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Myanmar di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Qarim didakwa melakukan kesalahan bunuh dan menyebabkan kematian rakan senegaranya yang ketika itu berusia 35 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Pak Madah, Bukit Payung, Marang kira-kira pukul 11.20 malam pada 18 Mac 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara 30 sehingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam sebaik merekodkan pengakuan tertuduh
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd. Khairuddin Idris.
Dalam kejadian tujuh tahun lalu, mangsa ditemui dalam sebuah rumah oleh jirannya dengan kesan tikaman di bahagian dada dan belakang badan selain kesan luka di kepala.
Kejadian dipercayai berpunca pertengkaran dengan beberapa yang lain dan mangsa disyaki ditikam bertubi-tubi dengan gerudi, tukul, parang, pisau serta topi keledar.
Kejadian membabitkan empat tertuduh termasuk Mohamad Qarim manakala tiga yang lain telah dipenjara 11 sehingga 15 tahun di bawah Seksyen 304 KK pada 2019.
Kesemua mereka merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR). – UTUSAN










