BUKIT MERTAJAM : Lelaki yang tular dalam satu rakaman video kerana mencuri barang kemas di sebuah kedai emas di sini, Jumaat lalu telah menjalani hukuman atas perbuatan jenayahnya itu.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris.
Menurut Helmi, tertuduh yang juga merupakan seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan selepas mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Katanya, hukuman di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada hari kejadian.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video yang tular mengenai kejadian itu menerusi laman X.
“Siasatan mendapati, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu kira-kira pukul 11.53 pagi di sebuah kedai emas di Bandar Perda, Bukit Mertajam.
“Semasa kejadian, pengadu yang juga seorang jurujual di situ telah didatangi oleh lelaki berkenaan yang berpura-pura hendak membeli barang kemas.
“Pengadu melayan suspek dengan menunjukkan barang kemas yang hendak dilihatnya. Bagaimanapun, semasa pengadu membuat kiraan, suspek telah mengambil barang kemas yang diletakkan di atas meja kaunter sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, beliau memberitahu, lelaki tersebut yang berusia dalam lingkungan 30-an kemudian berjaya ditahan pada hari sama iaitu kira-kira pukul 4 petang di Sungai Petani, Kedah.
“Kita berjaya menjumpai semula semua barang kemas yang dilarikan dan semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes dadah,” katanya.-UTUSAN










