MELAKA: Tular dalam media sosial sejak semalam satu klip video berdurasi 34 saat memaparkan individu yang memakai maskot watak ‘Elmo’ daripada sebuah rancangan kanak-kanak popular, menumbuk salah seorang daripada dua lelaki dihadapannya.
Kejadian dipercayai berlaku berhampiran Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini.
Individu memakai maskot itu mendakwa, mangsa telah menumbuk bahagian perutnya terlebih dahulu dan tindakannya itu hanya untuk membela diri.
Selain itu, individu itu turut mendakwa telah mengadukan insiden tersebut kepada pihak polis, namun diminta menyelesaikan sendiri masalah berkenaan.
Tindakan itu turut dipersoalkan oleh orang awam yang merakam kejadian kerana si pelaku memukul mangsa sehingga berdarah.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
Ujarnya, polis sedang mengenal pasti tarikh insiden berkenaan dan sekiranya ia adalah video terkini maka satu laporan akan dibuat bagi menyiasatnya.
“Setakat ini tiada laporan polis. Kita hendak semak sama ada video baru atau lama. Kalau baru, kita akan buat laporan supaya tindakan dapat diambil,” katanya. – UTUSAN










