MELAKA: Lembaga Tabung Haji (TH) diarah mempertingkatkan kawalan keselamatan ke atas akaun pendeposit bagi mengelak wang daripada akaun simpanan dipindah tanpa kebenaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH sentiasa mengambil pendekatan terbaik dalam memastikan keselamatan wang pendeposit terjamin.
Menurutnya, arahan itu dibuat ekoran berlakunya kejadian pendeposit kehilangan sejumlah wang yang didakwa dipindah tanpa kebenaran pada 20 Februari lalu.
Beliau berkata, perkara paling penting adalah pendeposit dinasihat lebih berhati-hati dengan tidak memuat turun pautan laman sesawang mencurigakan.
“TH telah beri jaminan akan memastikan keselamatan akaun pendeposit tidak mudah diceroboh. Kita tidak mampu lakukan ini sekiranya pendeposit TH tidak mengambil pendekatan berhati-hati.
“Bila masyarakat bersikap berhati-hati dan TH perkukuhkan keselamatan, saya percaya ia dapat mengelak daripada mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil wang simpanan pendeposit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.
Pada majlis yang dihadiri 350 peserta, Mohd. Na’im turut melancarkan Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Terdahulu, seorang bilal masjid berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun TH miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada 20 Februari 2024.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Mohd. Venus berkata, laporan dibuat mangsa pada 26 Februari melibatkan kes wang simpanan TH yang didakwa berkurangan.
Tambah Mohd. Na’im, TH telah mengambil tindakan pantas dengan membekukan akaun mangsa pada 23 Februari selepas menyedari berlaku transaksi mencurigakan.
“TH menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa pada 26 Februari, namun kita telah bertindak lebih pantas, jika tidak mungkin lebih banyak wang daripada akaun mangsa dipindahkan tanpa kebenaran,” ujarnya. – UTUSAN










