MELAKA: Polis mengesahkan bahawa kejadian cubaan samun seperti yang tular dalam media sosial hari ini, melibatkan seorang pemandu kereta mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar sebuah lagi kereta yang diparkir berlaku di hadapan kedai dobi di Masjid Tanah dekat sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, insiden terjadi kira-kira pukul 6.30 pagi semalam membabitkan seorang mangsa wanita berusia 36 tahun.

Beliau berkata, mangsa yang memandu kereta Proton Saga telah ditahan dua suspek memegang pedang samurai menaiki kereta BMW.
“Mangsa memberitahu dia disekat sebuah kereta BMW di hadapan dobi tersebut. Kemudian turun dua lelaki memegang pedang samurai bertindak memecahkan tingkap hadapan, tingkap kiri dan kanan mengenai tangan mangsa.
“Mangsa kemudian mengundurkan keretanya dan terlanggar sebuah kereta di tepi jalan. Wanita itu melarikan diri terus ke Balai Polis Masjid Tanah. Mangsa memaklumkan dia tidak mengenali kedua-dua suspek,” katanya kepada pemberita.
Tambah Zainol, mangsa telah mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, namun perlu dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Mangsa tidak mengalami apa-apa kehilangan barang, sehingga kini kes masih dalam siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dipohon untuk menyalurkan maklumat di talian 06-5562222,” jelasnya. – UTUSAN











