Seminggu diburu, wanita larikan jongkong emas diberkas

Seminggu diburu, wanita larikan jongkong emas diberkas

JONGKONG emas bernilai RM29,000 yang dilarikan suspek dari sebuah kedai emas di Jalan Kampung Jawa, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas hampir seminggu diburu, polis berjaya memberkas seorang wanita yang dipercayai melarikan jongkong emas bernilai RM29,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Kampung Jawa di sini, hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.45 petang semalam, di sebuah rumah di Taman Malim Jaya.

Beliau berkata, suspek turut mengaku terlibat dalam kes mencuri wang di restoran tempatnya bekerja di Tengkera yang sedang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

“Suspek merancang untuk menjual jongkong emas tersebut bagi menampung kehidupannya selepas dibuang kerja dan mendakwa kini tinggal seorang diri kerana mempunyai konflik dengan keluarganya.

“Mengikut laporan dibuat pemilik kedai emas, suspek masuk ke kedai berkenaan pada pukul 4.30 petang, 30 Oktober lalu.

“Dia kemudian meminta seorang pekerja mengeluarkan satu jongkong emas 999 dengan berat 100 gram dengan alasan ingin melihatnya. Dia memegang emas itu lebih kurang tiga minit sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Nissan Livina bersama dua individu yang berada dalam kenderaan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, susulan kejadian pihaknya berjaya mengesan seorang wanita dengan nama panggilan Ming Ming dan menahan suspek di rumah sewanya.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sebuah botol yang dalamnya terdapat satu plastik lutsinar mengandungi jongkong emas bertulis Suisse 100 gram 999.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN