Samun berkawan tanpa senjata api meningkat 113.3 peratus

Samun berkawan tanpa senjata api meningkat 113.3 peratus di Melaka

ZAINOL Samah menyampaikan bantuan makanan kepada seorang penerima selepas merasmikan Kempen Cegah Jenayah dan Jelajah Mesra Sempena Deepavali di Kampung Chetti, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kes samun berkawan tanpa senjata api di negeri ini meningkat sebanyak 113.3 peratus dari Januari sehingga 31 Oktober tahun ini berbanding tempoh sama pada 2022.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia melibatkan peningkatan sebanyak 34 kes kepada 64 kes tahun ini berbanding hanya 30 kes tahun lalu.

Menurutnya, selain itu jenayah yang turut meningkat adalah rogol sebanyak 62 kes (19.2 peratus), pecah rumah 343 kes (2.7 peratus), curi motosikal 203 kes ( lapan peratus) dan curi kereta 45 kes (95.7 peratus).

“Jenayah indeks di negeri ini meningkat sikit jika hendak dibandingkan dengan tempoh sama dari Januari hingga Oktober tahun lalu dengan kenaikan sebanyak 2.44 peratus.

“Keseluruhannya bagi tempoh yang sama tahun lalu, sebanyak 1,149 kes jenayah dilaporkan berbanding 1,177 kes setakat ini iaitu meningkat sebanyak 28 kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Cegah Jenayah dan Jelajah Mesra Sempena Deepavali di Kampung Chetti di sini, malam tadi.

Tambah Zainol, bagi penyelesaian kes yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak 1,177 kes manakala baki 812 kes pula masih dalam siasatan.

Beliau turut menyarankan orang ramai mengisi Borang Maklumat Balik Kampung sebagai langkah pencegahan jenayah terutama kes pecah rumah sepanjang Deepavali kali ini.

“Melalui maklumat yang diisi itu membolehkan anggota polis melakukan rondaan di rumah yang ditinggalkan bagi memastikan tidak berlaku kejadian pecah rumah.

“Orang ramai boleh mengambil borang di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di seluruh negeri ini atau mengisi borang menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN