Kereta jadi ‘stor’ simpan dadah - Utusan Malaysia

Kereta jadi ‘stor’ simpan dadah

V. SARAVANAN (duduk, tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada satu sindiket dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang, hari ini. - Pic: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

9

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sebagai stor penyimpanan susulan penahanan lima lelaki dan seorang wanita sekitar Jelutong dan Gelugor, dekat sini, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, keenam-enam suspek yang semuanya warga tempatan berusia lingkungan 21 sehingga 42 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi Ops Tapis antara pukul 11.20 pagi sehingga 3.45 petang.

Katanya, dalam serbuan pertama di pangsapuri di Taman Seri Damai, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas dua paket heroin, satu paket syabu dan empat biji pil Eramin 5.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua dan kita menemukan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dijadikan stor tempat menyimpan dadah di kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan kenderaan, polis menemukan dua paket heroin manakala dua lagi ahli sindiket turut ditahan.

“Menerusi serbuan ketiga pula, sebuah kereta jenis Perodua Kancil diperiksa di tepi Jalan Persiaran Bukit Gambir 1, Gelugor dan polis merampas 4.1 kilogram (kg) dadah jenis heroin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan tiga buah motosikal, barang kemas dan wang tunai RM6,050 menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM135,021.

Jelas beliau, sindiket itu dipercayai aktif sejak bulan lalu dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 22,402 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

“Hasil ujian air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis MOP dan methamphetamine manakala keenam-enamnya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek direman selama seminggu sehingga 21 November ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya