Seludup rokok guna MPV mewah, nilai rampasan cecah RM8.8 juta

Seludup rokok guna MPV mewah, nilai rampasan cecah RM8.8 juta

SAZALI Mohamad (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sindiket penyeludupan rokok pelbagai jenama dipercayai dari Vietnam berjaya dilumpuhkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan rampasan mencecah RM8.8 juta, melalui empat operasi berasingan sejak Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sazali Mohamad berkata, modus operandi sindiket adalah menjadikan perairan pantai timur negara sebagai laluan masuk dan kemudiannya membawa rokok seludup berkenaan menggunakan kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) dan lori.

Katanya, JKDM merampas sebanyak 11,754,000 batang rokok seludup bernilai RM8,792,193 hasil pemeriksaan berasingan ke atas sebuah MPV jenis Toyota Alphard dan tiga buah lori dipercayai untuk pasaran rumah kongsi.

Jelasnya, serbuan pertama dilakukan pada 27 Jun lalu melibatkan Toyota Alphard yang membawa 160,000 batang rokok seludup bernilai RM119,880 termasuk cukai.

“Rampasan seterusnya dibuat ke atas tiga buah lori pada 30 Ogos, 5 September dan 30 September di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Segamat-Kuantan, sebuah stesen minyak di Keratong, Pahang serta R&R Jejantas Ayer Keroh di sini.

“Ketiga-tiga lori ini membawa 11,594,000 batang rokok seludup pelbagai jenama. Dua daripada kes ini membalut kesemua muatan menggunakan plastik hitam,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Sazali, kesemua rokok seludup itu dijual pada harga sekitar RM6 sekotak, jauh lebih rendah daripada harga pasaran ditetapkan kerajaan dan menyasarkan pekerja buruh warga asing di rumah-rumah kongsi.

Ujarnya, pihaknya menahan dua lelaki berusia 40-an yang merupakan pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut ke atas lori terlibat juga mendapati nombor plat dipamerkan adalah palsu bagi mengelakkan mereka dikesan pihak kastam,” katanya.

Dalam pada itu, Sazali berkata, JKDM turut merampas sebanyak 33,420 liter minuman keras bernilai RM1.48 juta menerusi dua serbuan, masing-masing di sebuah gudang di Kuala Lumpur dan kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 September serta 2 Oktober lalu.

“Turut dirampas adalah 11,940 kilogram beras seludup dari Bangladesh bernilai RM33,432 yang didaftarkan sebagai rempah ratus pada 3 April lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN