MUAR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay meminta diberi sedikit ruang dan masa untuk pihaknya menjalankan siasatan terhadap insiden kekasaran melibatkan pengamal media di Parlimen Pulai, pada 5 September lalu.
Beliau berkata, dua wartawan terlibat berkemungkinan akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.
“Mungkin dua wartawan itu akan dipanggil ke macam mana, tengok keadaan. Biasalah, masing-masing menjalankan tugas. Setakat ini kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak media sebelum laporan polis lagi. Ada juga kata berlaku gangguan seksual, cuma nanti kita buat siasatan lengkap,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Pei Chai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan insiden melibatkan pengamal media yang didakwa dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri, dalam dua kempen politik di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru.
Terdahulu, Pengerusi Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata, antara kekasaran didakwa berlaku adalah tangan seorang wartawan wanita disentuh ketika merakam sidang akhbar, seorang jurugambar ditolak pegawai pengiring serta belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita dicubit beberapa kali.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, polis berpuas hati dengan proses mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini.
Katanya, pihaknya juga tidak berdepan sebarang insiden tidak diingini setakat ini.
“Alhamdulillah, setakat ini saya melawat sembilan pusat mengundi di Pulai dan sekarang di Simpang Jeram. Semua proses pengundian berjalan lancar.
“Jadi, saya harap pengundi semua keluar laksanakan tanggungjawab mereka dalam proses demokrasi kita. Tidak ada sebarang insiden-insiden yang menarik perhatian, sebaliknya proses lancar dan mudah,” katanya. – UTUSAN