ALOR GAJAH: “Saya percaya mayat itu adalah anak saya. Mengapa dia dibunuh, sama ada kerana wang RM4,000 hasil jualan motosikalnya atau isu lain? Apa yang pasti bukan kerana wanita kerana anak saya tiada kekasih”.
Itu luahan sayu K. Vathma, 55, ibu kepada seorang pemuda, R. Darvnrajh, 24, yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 10 September lalu di Tampin, Negeri Sembilan.
Vathma berkata, penemuan sekujur mayat yang hangus terbakar dalam semak di Hutan Percha di sini, Sabtu lalu menguatkan lagi dakwaan bahawa Darvnrajh telah dibunuh oleh rakan-rakanya sendiri.
Katanya, polis telah memaklumkan keluarganya berkenaan penemuan mayat berkenaan, namun pengesahan identiti sama ada ia adalah Darvnrajh belum disahkan.
Ujarnya, meskipun keputusan pengesahan identiti belum diperoleh, namun naluri keibuannya kuat mengatakan bahawa mayat itu adalah anaknya.
“Sebelum dia hilang, saya syak duit RM4,000 ada dibawa bersamanya secara tunai kerana tidak disimpan di rumah kami di Taman Bukit Ria, Tampin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada 14 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki hilang selepas tidak pulang ke rumah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, Darvnrajh kali terakhir dilihat bersama rakan-rakannya sekitar awal pagi 10 September lalu.
Tambah Vathma, beberapa hari sebelum kehilangan, anaknya dipercayai meminta bantuan beberapa rakan mencari pembeli motosikal jenis Yamaha 125Z miliknya.
Jelasnya, Darvnrajh berbuat demikian bagi mendapatkan wang untuk memulakan pekerjaan di Lapangan Terbang Changi, Singapura yang sepatutnya bermula Rabu ini.
“Darvnrajh merupakan anak sulung daripada dua beradik, dia hilang selepas keluar menonton wayang bersama adiknya berusia 17 tahun serta beberapa rakan pada malam 9 September. Tak sangka pula kejadian ini yang menimpa dirinya, jika mereka mahu merompak wang sekalipun kenapa perlu sampai perlu meragut nyawa,” katanya. – UTUSAN