11 pengemis bazar Ramadan ditahan di Melaka

11 pengemis bazar Ramadan ditahan di Melaka

ZAINOL Samah dalam sidang akhbar ketika Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis telah menahan seramai 11 individu yang disyaki menjalankan aktiviti mengemis di kawasan tumpuan awam dan bazar-bazar Ramadan sekitar negeri ini, sepanjang bulan puasa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, operasi khas membanteras aktiviti mengemis telah dilaksanakan pihaknya melalui 52 pemeriksaan bermula 28 Mac lalu.

Beliau berkata, tiga daripada pengemis yang diberkas merupakan warga asing dan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

“Manakala lima daripadanya disiasat di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pungutan Rumah Ke Rumah dan Di Jalan 1947 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

“Tiga lagi disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

“Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menganjurkan suatu pungutan derma sama ada bagi pihak persatuan atau pertubuhan perlu mengemukakan permohonan kepada bahagian pelesenan ibu pejabat polis daerah (IPD) berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan Operasi Penguatkuasaan Mercun Tanpa Permit, Zainol berkata, polis berjaya menahan tujuh individu serta merampas pelbagai mercun jenis Happy Boom yang disimpan di kediaman serta dijual di bazar Ramadan.

“Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM45,000. Sebanyak 287 permohonan permit telah kita terima manakala 220 daripadanya telah diluluskan.

“Kesemua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN