Polis buru Syafiq Raj, suspek kes bunuh pesara

Polis buru Syafiq Raj, suspek kes bunuh pesara

SYAFIQ RAJ KALAI SELVAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lagi suspek kes rempuh sehingga mati seorang pesara berusia 57 tahun, dalam kejadian di Plaza Pandan Malim di sini, 27 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 27 tahun itu, Syafiq Raj Kalai Selvan yang masih bebas diburu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Pada 27 Februari 2023 seorang lelaki iaitu salah seorang suspek telah berjaya ditangkap di kawasan Ayer Keroh. Turut dirampas sebuah telefon bimbit dan pakaian yang dipakai semasa kejadian.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat seorang lagi suspek yang sedang giat dikesan. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek ini diminta untuk menyalurkan kepada polis dengan berhubung terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Nazam Md. Shah di talian 012-7221913,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hanya kerana berang ditegur memasang lagu terlalu kuat di dalam kereta sehingga mengganggu keamanan setempat, dua lelaki bertindak ganas merempuh seorang pesara berusia 57 tahun, dalam kejadian di Plaza Pandan Malim.

Ketika kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah setelah hampir 11 jam menerima rawatan di Hospital Melaka.

Anak mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, sebelum insiden dia dan bapanya telah menegur pelaku yang menaiki kereta jenis Perodua Axia kerana memasang muzik terlalu kuat di kawasan rumahnya di Kampung Padang.

Katanya yang berusia 20-an, kedua-dua lelaki itu kemudian telah beredar selepas ditegur, namun datang semula ke lokasi sama dengan sengaja mencetuskan provokasi.

Dalam pada itu, suspek yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pesara.

Tertuduh yang juga seorang tukang gunting rambut warga asing dari India berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya