MELAKA: Taktik licik sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik minuman susu kultur dan jus tumpas, selepas dalang terdiri daripada pasangan suami isteri diberkas polis minggu lalu.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu berjaya menumpaskan kegiatan yang aktif di sekitar Banda Hilir di sini, dengan nilai rampasan sebanyak RM206,111.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dan isterinya, warga Thailand, 28, ditahan dalam dua serbuan berasingan.
Beliau berkata, hasil risikan selama seminggu, suspek pertama diberkas pukul 8.30 malam di tempat parkir sebuah pangsapuri di Banda Hilir.
“Pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai sejumlah jus, 3,910 mililiter (ml) dan serbuk seberat 75.6 gram (g) disyaki ketamin dalam sebuah beg kain digalasnya.
“Hasil soal siasat membawa kepada serbuan kedua di sebuah premis di pangsapuri sama yang dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan disyaki dadah dan seorang wanita yang juga isteri suspek pertama ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.
Tambah Christopher, sindiket dipercayai aktif sejak Disember 2022 dengan mengambil bekalan dari Kuala Lumpur serta Johor.
Jelasnya, kesemua dadah berkenaan dipercayai dipasarkan di kelab-kelab malam di negeri ini dengan harga sekitar RM150 hingga RM300 sebotol.
“Hasil pemeriksaan di premis, kita telah merampas sejumlah botol minuman dan kultur pelbagai jenis disyaki cecair ketamin membabitkan jumlah 56,700 ml, serbuk ketamin (2134.37 g), pil ekstasi (229 g), ketulan mampat daun kering ganja (33.53 g) dan pil eramin 5 (144 g) bernilai RM206,111.
“Minuman kultur dan jus ini telah disuntik serta dicampurkan dengan ketamin bagi mengaburi kegiatan pengedaran bekalan berkenaan yang boleh digunakan seramai 3,669 penagih.
“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas dan wang tunai bernilai RM25,680 yang disyaki digunakan suspek dalam kegiatan tersebut,” jelasnya.
Katanya, suspek direman selama enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN