Syabu pasaran eksport bernilai RM835,000 dirampas di Pulau Melaka

Syabu pasaran eksport bernilai RM835,000 dirampas di Pulau Melaka

ZAINOL Samah (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Kontinjen Melaka berjaya menggagalkan usaha sindiket penyeludupan dadah menyeludup keluar syabu seberat 23.1 kilogram (kg) dalam operasi bersama Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Melaka di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, rampasan dadah bernilai mencecah RM835,000 itu dipercayai untuk pasaran luar negara yang mana boleh digunakan seramai 115,720 penagih.

Beliau berkata, hasil serbuan ke atas sebuah kereta, pihaknya berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 39 (B) dan Seksyen 56 (1) Akta Imigresen serta Seksyen 6 (1) Akta Kakisan dan Letupan.

“Pada 22 November 2022 pukul 12.10 tengah malam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka bersama anggota PGA Batalion 6, Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah syabu di kawasan Pulau Melaka.

“Polis telah merampas sebuah beg galas berwarna hitam yang mengandungi tujuh bungkusan warna kuning, anggaran berat 7.38 kg dadah jenis syabu. Sebuah beg galas celoreng hijau mengandungi plastik warna hitam turut berisi bungkusan warna kuning anggaran berat 7.38 kg dadah syabu.

“Turut dirampas sebuah lagi beg galas berwarna hitam mengandungi lapan bungkusan warna kuning anggaran berat 8.34 kg juga dadah syabu. Hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini adalah untuk pasaran ke luar negara dan ini adalah kali pertama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Tambah Zainol, bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan didapati negatif dadah dan suspek direman selama tujuh hari bermula dari hari ditangkap bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau pemenjaraan seumur hidup.

“Jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya