fbpx

Jurujual wanita hilang RM16,500 ditipu Macau Scam

AHMAD ADNAN BASRI

TELUK INTAN: Seorang jurujual pakaian berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM16,500 lesap selepas ditipu individu yang mendakwa dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula selepas wanita berusia 31 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, individu terbabit memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran bulanan kad kredit, namun, wanita itu menafikan dakwaan tersebut.

“Panggilan telefon berkenaan kemudian disambung kononnya kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) di mana mangsa dikatakan terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram.

“Terpedaya dengan penipuan itu, mangsa menyerahkan butiran perbankan miliknya beserta nama dan kata laluan kepada sindiket dengan alasan memudahkan mereka membuat seliaan dan pemantauan ke atas akaun bank mangsa.

“Maklumat perbankan itu diserahkan kepada seorang lelaki dikenali Suhaimi Ali kononnya daripada Bank Negara,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa hanya menyedari ditipu setelah wang dalam akaun bank miliknya dipindahkan secara berperingkat melalui tiga transaksi dengan jumlah keseluruhan RM16,500.

Katanya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan semalam dan siasatan kes tersebut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket ini selain tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali kononnya daripada agensi kerajaan,” katanya. – UTUSAN 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!