YAN: Tindakan seorang lelaki disyaki suspek kes pecah rumah yang lari ke kawasan sawah padi tidak berjaya apabila dia dikepung dan ditahan penduduk Kampung Kuala Dulang Kecil, di sini awal pagi ini.
Suspek berusia 37 tahun itu sebelum itu dikesan cuba memecah masuk sebuah rumah milik penduduk kampung itu bersama seorang rakannya kira-kira pukul 2 pagi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji yang dihubungi berkata, perbuatan jahat dua suspek itu bagaimana pun gagal selepas terserempak dengan sekumpulan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kampung yang melakukan rondaan.
“Kedua-dua suspek itu kemudian melarikan diri ke kawasan sawah padi di kampung berkenaan sambil dikejar anggota SRS sebelum disusuli penduduk kampung. Disebabkan berlari di kawasan terbuka salah seorang daripada mereka berjaya ditahan manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri,” katanya.
Kata Shahnaz, sebaik menerima laporan pada pukul 2.30 pagi, pihaknya bergegas ke lokasi untuk membuat tangkapan semula.
“Pemeriksaan ke atas lelaki itu tidak menjumpai apa-apa barang salah. Suspek mengalami kecederaan calar, lebam dan luka dipercayai hasil pergelutan antara suspek dengan penduduk kampung semasa proses menangkapnya,” katanya.
Tambahnya, semakan rekod mendapati suspek yang berasal dari Baling itu mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun sama.
“Suspek kini dalam dalam proses untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE











