Rumah disimbah cat, keluarga pemandu lori diugut ah long - Utusan Malaysia

Rumah disimbah cat, keluarga pemandu lori diugut ah long

LEE Yen Hoong (kiri) dan bapanya (kanan) bersama Gunasekaran (tengah) menunjukkan tompokan cat merah dipercayai dibaling oleh along di Taman Seremban Jaya, Seremban.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori hidup dalam ketakutan dan tertekan selepas rumah didiaminya bersama keluarga di Taman Seremban Jaya disimbah cat merah selain diugut oleh ah long untuk menyelesaikan pinjaman wang yang dibuat oleh anak saudaranya. 

Mangsa, Lee Yen Hoong, 42, berkata, pada mulanya, ah long tersebut menghantar pesanan mesej berbaur ugutan di WhatsApp sejak 10 Jun lalu yang mendakwa anak saudaranya dikenali sebagai Jeremy meminjam wang daripada mereka. 

“Kemudian, saya maklumkan kenapa mencari saya sedangkan yang pinjam daripada ah long adalah Jeremy, saya minta mereka jangan ganggu saya lagi kerana tidak terlibat dalam hal tersebut. 

“Bagaimanapun, ah long itu tetap mengugut saya di WhatsApp dan pernah membaling beberapa surat ugutan memaparkan wajah anak saudara yang meminjam wang daripada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Jaya di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran yang turun padang melawat mangsa.

Menurut Yen Hoong, selepas gagal menghubungi Jeremy, ah long tersebut bertindak lebih berani dengan menyimbah cat merah di rumahnya dalam kejadian pada pukul 7.58 malam Sabtu lalu. 

“Perbuatan ah long tersebut menyebabkan saya bersama isteri, dua orang anak masih bersekolah dan bapa berusia 81 tahun yang menghidap penyakit angin ahmar, takut untuk tinggal di rumah. 

“Kini, saya tidak dapat keluar bekerja kerana bimbang dengan keselamatan keluarga di rumah, sudah tentu keadaan ini mengganggu emosi kami, hidup seperti diperhatikan disebabkan kesalahan yang tidak pernah saya lakukan,” katanya.

 Yen Hoong berkata, susulan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Senawang kerana kerana bimbang dengan keselamatan keluarganya.

Sementara itu, Gunasekaran berkata, dia memohon pihak polis mengambil tindakan segera ekoran mangsa diugut. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN