GEORGETOWN: Polis menumpaskan satu sindiket yang melakukan khianat serta menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM1.91 juta dalam satu serbuan di kondominium mewah di kawasan Perda, Bukit Mertajam, di sini Rabu lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, polis menahan 13 individu warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan empat perempuan yang berasal dari Pulau Pinang; Melaka; Negeri Sembilan; Johor; Selangor serta Sabah.
”Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berkaitan aktiviti jenayah khianat seperti simbah cat, ugutan jenayah dan kegiatan ah long, namun, ia telah membawa kepada penemuan sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud di kondominium ini.
“Kesemua suspek tinggal di rumah tersebut yang telah disewa sejak empat bulan lalu dan siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan memberi pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa yang mahu meminjam wang daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, modus operadi sindiket adalah mengiklankan pinjaman mereka menerusi media sosial seperti Facebook serta aplikasi WhatsApp.
“Sindiket kemudiannya akan menghubungi mangsa sebelum memperdayakan mereka dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.
”Hasil semakan setakat ini mendapati sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan aktiviti kumpulan ini membabitkan kerugian RM1.914 juta yang melibatkan kes di semua negeri dan terdapat enam kes dilaporkan di Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, seramai 13 suspek itu berperanan menghubungi mangsa bagi menawarkan pinjaman tidak wujud.
”Sindiket ini menjalankan kegiatan ini di Pulau Pinang sejak tahun lalu dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.
“Dalam serbuan ini, polis merampas 27 unit telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta dan 10 buah nota tercatat nombor telefon serta nombor akaun mangsa di rumah sewa tersebut,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, tiga daripada suspek yang kesemuanya berusia 19 hingga 30 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
”Kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat menurut Seksyen 427 dan 420 Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE










