GEORGETOWN: Insiden membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang cedera selepas diserang seorang lelaki Jumaat lalu tidak bermotifkan politik atau dendam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kejadian di kawasan parkir di sebuah restoran di Tanjung Bungah itu berlaku secara tiba-tiba dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
”Tiada unsur dendam atau bermotifkan politik, ia dipercayai berlaku akibat selisih faham, suspek juga tidak mengenali mangsa.
”Suspek seorang lelaki warga asing berusia 60 tahun yang ditahan reman selama dua hari lalu telah dibebaskan semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam Jumaat lalu, Jagdeep berada di sebuah restoran di Tanjung Bungah di sini apabila seorang lelaki dipercayai warga asing tidak dikenali menghampirinya dan kemudian menolaknya sehingga terjatuh.
Susulan kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun berkenaan mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kirinya dan kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Menurut Mohd. Shuhaily, kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
”Kita juga sedang menyiasat dengan lebih lanjut sama ada ketika kejadian, suspek berada dalam kejadian mabuk.
”Ketika kejadian, suspek dan mangsa berada bersama ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis sedang mengesan empat lagi lelaki yang disyaki ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Chandra’.
Katanya, empat lelaki itu terdiri daripada dua lelaki tempatan iaitu K. Harivin Raj, 25; B. Jagandran, 47, dan dua lagi lelaki warga asing yang diknali sebagai Juanda dan Afrizal.
”Seramai 14 ahli kumpulan ini telah ditahan polis menerusi Op Cantas Tanjung 3 pada 25 Mei lalu dan mereka telah didakwa di mahkamah kerana menggangotai sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Kumpulan ini termasuk empat lagi suspek yang sedang diburu polis dipercayai menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjata api dan telah bergiat aktif sejak 2021,” katanya. –UTUSAN ONLINE










