PETALING JAYA; Polis menerima satu lagi laporan berkaitan kanak-kanak didakwa mangsa cabul melibatkan jurulatih wushu.
Laporan terbaru itu sekali gus menjadikan secara keseluruhannya tiga laporan polis berkaitan tiga mangsa berlainan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, aduan terbaru itu dibuat ibu bapa mangsa pada minggu lalu.
“Aduan ketiga ini melibatkan seorang murid perempuan sekolah rendah berusia 10 tahun yang mendakwa dia telah dicabul oleh suspek di dewan latihan wushu yang dikendalikannya di daerah Petaling.
“Kejadian cabul membabitkan murid sekolah itu dikatakan berlaku antara Februari hingga April tahun ini,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, jurulatih berusia 31 tahun itu didakwa selepas disiasat dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, Isnin lalu.
Suspek yang bertugas di sebuah akademi wushu di Cheras juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama.
Suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dalam dua kejadian berasingan awal April lalu. – UTUSAN ONLINE











