PETALING JAYA: Tindakan enam individu menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen sebelum menyamun mengundang padah apabila kesemua mereka diberkas di sekitar ibu negara, semalam.
Kesemua mereka ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, penahanan kesemua suspek dilakukan susulan laporan polis mengenai kejadian samun melibatkan dua mangsa lelaki warga asing.
Kata beliau, kedua-dua lelaki berkenaan mengalami kerugian hilang telefon bimbit dan wang tunai anggaran nilai RM300.
“Hasil risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, membuat tangkapan terhadap satu lelaki warga tempatan pada kira-kira pukul 10 pagi.
“Rentetan daripada tangkapan pertama membawa kepada penahanan susulan iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta rampasan terhadap pelbagai alatan dan barang kes yang, dipercayai hasil dari kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah lapan telefon bimbit, komputer riba (lima); parang panjang anggaran 60 sentimeter dan pistol (masing-masing dua) serta lain-lain barangan berharga.
“Turut dirampas adalah ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 32.4 gram dan pil disyaki dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 0.7 gram.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta permohonan reman,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE











