PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk pengurus syarikat hartanah berkaitan kerajaan selepas disyaki melakukan tuntutan palsu berjumlah RM300 juta.
Tiga lagi individu ditahan SPRM adalah pengurus projek, pengarah urusan dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 48 tahun.
Kata sumber itu, tiga daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Terengganu manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di ibu negara pada pukul 12 tengah hari semalam.
“Suspek sudah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Rabu hadapan. Perintah reman dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, kesemua suspek disyaki bersubahat dengan membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan empat individu itu namun enggan mengulas lanjut. –UTUSAN ONLINE











