Keluarga doktor pelatih beri keterangan hari ini - Utusan Malaysia

Keluarga doktor pelatih beri keterangan hari ini

Keluarga doktor pelatih yang maut akibat jatuh dari pangsapuri akan beri keterangan kepada polis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Waris kepada doktor pelatih lelaki di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang maut terjatuh dari aras 23, tingkap bilik tidur rumah sewanya di sebuah apartment di Jalan Dato Keramat di sini pada 17 April lalu akan memberi keterangan kepada polis hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, beliau dimaklumkan mengenai kehadiran ahli keluarga si mati berusia 25 tahun dari Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut pelbagai sudut termasuk melibatkan elemen jenayah mahupun masalah peribadi si mati.

“Mereka (keluarga si mati) sampai baru tahu (siapa yang akan beri keterangan sama ada ibu, bapa atau abang si mati).

“Kami menanti kehadiran mereka esok (hari ini) bagi membantu melengkapkan siasatan hubung kes kematian doktor pelatih dari sebuah universiti swasta di Cheras itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kata beliau, polis juga masih menunggu laporan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia berhubung kematian pegawai perubatan siswazah tersebut.

Pada 7 Mei lalu, akhbar ini melaporkan siasatan awal polis mendapati si mati pernah mengadu kepada rakan serumahnya dia terbeban dengan tugasan.

Terdahulu, kejadian tersebut berjaya ‘dihidu’ media selepas lebih seminggu kejadian tersebut berlaku pada 17 April lalu.

Pada 4 Mei lalu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’ Arof Sudin menerusi satu kenyataan telah mengesahkan kematian Pegawai Perubatan Siswazah yang baru melaporkan diri di HPP pada 4 April lalu.

Susulan kejadian itu, Kementerian Kesihatan turut menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN