ALOR SETAR: Seorang penjawat awam mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM126,588 setelah terperdaya dengan kegiatan Macau Scam di sini baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Suprintenden Elias Omar berkata, wanita berusia 38 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya pada Isnin lalu.
Menurutnya, pegawai LHDN tersebut kemudiannya memaklumkan terdapat sebuah syarikat bernama ‘HRC Global’ yang didaftarkan di atas namanya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM36,600.
“Mangsa menafikan perkara itu, namun, dia kemudiannya dihubungi pula oleh individu menyamar sebagai polis yang mendakwa wanita itu turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.
“Penjawat awam tersebut turut menafikan perkara berkenaan dan dia kemudiannya diarah untuk membuat semakan melalui pautan internet diberikan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, wanita tersebut lalu menekan pautan internet tersebut dan mengisi butiran diri termasuk akaun Bank Islam dan Tabung Haji miliknya.
Bagaimanapun, keesokan harinya, kata Elias, mangsa telah menerima mesej dari Bank Islam memaklumkan terdapat transaksi pemindahan wang daripada akaun Bank Islam miliknya berjumlah RM38,800.
“Selain itu, mangsa turut menyemak akaun Tabung Haji miliknya dan mendapati berlaku transaksi berjumlah RM87,788.
“Secara keseluruhannya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM126,588. Susulan itu, wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, semalam,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. –UTUSAN ONLINE