PETALING JAYA: Pengawal keselamatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh dan bakar seorang wanita dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras di dekat sini disambung reman enam hari lagi.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bermula 14 Mac lalu dan berakhir hari ini disambung reman sehingga 25 Mac ini.
Kata beliau, tahanan reman itu disambung bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dibawa untuk proses pendakwaan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan sambung reman terhadap suspek dibenarkan oleh Majistret bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, pengawal keselamatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh dan bakar seorang wanita dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini.
Pengawal keselamatan berkenaan dipercayai pernah ditahan sebelum ini ekoran mempunyai empat jenayah lampau berkaitan kes cabul dan ragut samun.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pengawal keselamatan berusia 30-an itu didakwa di mahkamah atau tidak.
Muhammad Idzam berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mengenali mangsa kerana bekerja di sekolah sama, namun, kedua-dua mereka tidak menjalinkan sebarang hubungan.
“Kita masih menyoal siasat suspek yang masih dalam reman sehingga Sabtu ini.
“Kita juga sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa berusia 25 tahun itu,” katanya.
Dalam pada itu, pemeriksaan polis mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah.
Dalam kejadian pukul 6.18 petang itu, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran di sebuah bilik dalam kawasan sekolah tersebut.
Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan pergi ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran dipadamkan dan satu mayat dalam keadaan rentung ditemukan oleh pihak bomba.
Katanya, mayat diserahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat. –UTUSAN ONLINE