fbpx

Sindiket guna Facebook, Telegram iklan kenderaan klon

HANIF Yusabra menunjukkan iklan kenderaan klon oleh pihak sindiket di media sosial Telegram.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sindiket kereta klon kini dikesan lebih terbuka dengan menggunakan media sosial Facebook dan aplikasi Telegram untuk memasarkan kenderaan tersebut kepada pembeli.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, trend permintaan kenderaan klon sentiasa ada dan kini semakin meningkat kerana harganya lebih murah daripada pasaran selain keinginan memiliki kenderaan mewah.

“Jika dahulu, sindiket ini dilakukan secara senyap dan sembunyi, namun, kini orang ramai lebih mudah mengakses maklumat mengenai kenderaan klon yang dijual pada harga murah menerusi media sosial.

“Sejak tahun 2016 hingga kini, terdapat baki 271 buah kenderaan sita yang masih berada di JPJ Negeri Sembilan dengan 64 buah daripadanya adalah kenderaan klon,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu, terdapat empat buah kenderaan klon disita iaitu kereta Suzuki Swift, Volkswagen Golf, Toyota Grandis dan motosikal Yamaha RXZ.

Menurut Hanif Yusabra, kenderaan klon itu dijual pada harga yang tidak munasabah iaitu di bawah harga RM20,000 dengan kebanyakan model jenama mewah seperti Honda, Mini Cooper dan BMW.

“Selain itu, sindiket dikesan menggunakan kenderaan model sama yang telah berdaftar di Malaysia untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Seterusnya pemilik kenderaan itu sendiri bersubahat dengan penjual sindiket kereta klon dengan membuat salinan cukai jalan dan geran kemudian meletakkan cukai jalan yang telah ‘duplicate’ (ditiru) itu pada kereta klon tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Hanif Yusabra berkata, pada 15 Februari depan, JPJ Negeri Sembilan akan mengadakan lelongan awam kenderaan sita di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya, Seremban.

“Bakal pembida yang telah membeli dokumen lelong sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian dalam lelongan tersebut.

“Penjualan buku lelong akan dibuat pada 7 hingga 10 Februari 2022 di Kaunter JPJ Seremban, Kuala Pilah dan Jempol pada harga RM50 senaskhah terhad kepada 400 buah sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI