MELAKA: Tiga beranak tergamak menyamun kenalan mereka sendiri dengan melarikan barang kemas, wang tunai dan kereta selepas mangsa membelanjakan mereka makan tengah hari dalam kejadian di Ayer Keroh di sini.
Suspek sepasang suami isteri masing-masing berusia 35 dan 27 tahun serta anak lelaki 16 tahun ditahan sepasukan polis di Ampang, Selangor kira-kira pukul 3.30 petang, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mangsa seorang wanita berusia 52 tahun didatangi keluarga itu ketika dia ingin masuk bekerja di Pejabat Persatuan Bekas Anggota Kemas pada pukul 11 pagi, 18 Januari lalu.
Katanya, remaja lelaki berkenaan telah membantu membuka pintu masuk premis itu sebelum diajak masuk oleh mangsa.
“Tidak lama kemudian bapa, ibu tiri serta adiknya berusia setahun setengah juga masuk ke dalam premis dan mangsa memberikan wang untuk membeli makan tengah hari keluarganya.
“Pada pukul 2.30 petang selepas mangsa selesai solat di bilik belakang, suspek lelaki berusia 35 tahun telah menolaknya sehingga terjatuh sebelum menanggalkan barang kemas dipakai wanita itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suspek juga mengacu pisau ke arah mangsa sambil mengarahkannya diam dan mengikat kaki serta tangan wanita itu.
“Barang kemas yang dilarikan adalah seutas gelang tangan emas, dua bentuk cincin, seutas rantai leher dan sebentuk subang di telinga kanan dianggarkan keseluruhan bernilai RM3,000.
“Selepas keluarga itu melarikan diri, mangsa menjerit mendapatkan pertolongan dan pemeriksaan di pejabatnya mendapati wang tunai berjumlah RM1,800 serta sebuah kereta Proton Saga miliknya juga telah tiada,” katanya.
Jelasnya, susulan itu, ketiga-tiga suspek telah ditahan di dua lokasi berasingan di Ampang dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek utama mempunyai 16 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah, pecah bangunan, curi serta samun.
Katanya, keluarga itu kini direman sehingga 22 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. –UTUSAN ONLINE