TUMPAT: Tujuh kapal nelayan kelas A ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual minyak diesel bersubsidi kepada nelayan asing di tengah-tengah laut, semalam.
Kesemua bot itu ditahan dalam Op Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga pada pukul 7.30 malam di Pengkalan Kubor, di sini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Afendi Juri berkata, pihaknya merampas sebanyak 24,800 liter diesel bersubsidi yang disorok dalam tempat penyimpanan ikan yang diubahsuai menjadi tangki tambahan.
Katanya, nilai bahan api dan semua tujuh bot yang dirampas tersebut dianggarkan lebih RM1.2 juta.
“Melalui operasi ini, kami kembali mengesan taktik lama iaitu berjual beli di tengah laut yang digunakan kembali bagi mengaburi mata penguat kuasa.
“Bagaimanapun, hasil intipan selama seminggu, kita berjaya menumpaskan aktiviti ini yang seolah-olah merompak hasil negara,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga, Asisten Superintendan Mohd. Rudzuan Ahmad.
Azanizam memberitahu, hasil soal siasat awal kesemua nelayan berusia antara 30 hingga 50 tahun mengaku menjual bahan api bersubsidi itu kepada bot nelayan asing di kawasan perairan negara.
“Nelayan tersebut turut mengaku harga jualan di tengah laut yang tinggi mendorong mereka mengambil kesempatan tersebut,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen Akta Bekalan 1961. –UTUSAN ONLINE