PUTRAJAYA: Dua individu termasuk seorang kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu.
Difahamkan, kedua-dua suspek melakukan kesalahan itu bagi memasuki tender membekal dan menghantar bahan-bahan makanan kepada sebuah hospital daerah di negeri itu.
Menurut sumber, tender bagi projek berkenaan untuk tempoh dua tahun pada 2017 dengan nilai kontrak yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.2 juta.
“Kedua-dua suspek lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 41 tahun dan 37 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Katanya lagi, kedua-dua suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai memberi keterangan. -UTUSAN ONLINE